Wednesday, September 11, 2013

Petua Untuk Mudah Menghafal Al-Quran

Assalamualaikum w.b.t.

Ana ingin berkongsi satu artikel tentang petua untuk kita mudah menghafal al-Quran. Sememangnya ana pun masih belum menghafal kesemua kalam suci ini, tetapi insyaAllah, jika kita bersungguh-sungguh dan niat semata-mata kerana Allah, ana yakin, cepat atau lambat kita mampu untuk hafaz kesemua 30 juzuk al-Quran walaupun mengambil masa berpuluh-puluh tahun. Yang penting, kita jangan berputus asa, insyaAllah. 

Seperti yang kita maklum, Al-Quran adalah kitab yang memberi petunjuk dan jalan kepada manusia, seperti firman Allah S.W.T. dalam surah al-Isra', ayat 9 yang bermaksud:
Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk (jalan) yang lebih lurus dan memberi khabar gembira kepada orang mukmin yang mengerjakan amal soleh bahawa bagi mereka ada pahala yang besar.
Maka, sebagai seorang Muslim, adalah perlu untuk kita jadikan Al-Quran sebagai panduan dalam menjalani apa jua yang dilakukan dalam kehidupan seharian. Justeru, kita perlu mempelajari al-Quran dengan membaca, memahami serta menghafal isinya.

Jadi di sini,  ana kongsikan kepada para pembaca beberapa petua bagi menghafal ayat-ayat al-Quran. Untuk melihat sumber asal artikel ini, boleh klik di sini. Memang untuk menghafal 30 juzuk nampaknya terlalu sukar bagi sesetengah orang, namun dengan petua yang diberikan serta berkat kesabaran dan usaha yang bersungguh-sungguh tidak mustahil seseorang dapat menghafal kalam suci ini kan? :)

Selamat membaca dan beramal.. :)

Menghafal Ayat-Ayat Al-Quran
a) Mulakan dengan bertaubat dengan sebenar-benar taubat kerana sesungguhnya dosa-dosa tidak akan memberi ruang untuk ayat-ayat bertapak di hati manusia. Imam Al-Shafie di dalam satu petikan sajaknya yang terkenal mengadu kepada gurunya akan dirinya yang agak sukar untuk menghafal dengan baik.Gurunya lalu menasihatinya agar meninggalkan dan bertaubat akan segala dosa- dosanya.


b) Mesti ada niat yang benar dan percaya akan balasan baik yang akan diperoleh. Mohonlah bantuan Allah dengan seikhlas hati untuk sentiasa memudahkan kita menghafal ayat-ayat suciNya.
c) Peruntukkan sebahagian waktu setiap hari (atau selang beberapa hari) untuk menghafal ayat-ayat al-Quran. Masa yang paling baik adalah pada waktu yang kita tidak sibuk dengan hal-hal lain.
d) Gunakan naskah yang sama setiap kali kita menghafal. Ini membantu minda kita menangkap dan mengingat apa yang terdapat pada helaian muka surat yang kita ingin hafal.
e) Mulakan dengan surah-surah yang paling mudah bagi kita. Ramai yang menyarankan agar hafalan bermula dengan lima juzu’ terakhir ( bermula dengan juzu’ 30,juzu’ 29 dan seterusnya).
f) Hafalan juga boleh dimulakan dengan surah-surah yang paling kita gemar membacanya atau yang selalu kita dengar ataupun yang kita sudah biasa dan sudah pula ingat sebahagiannya.
g) Sebenarnya, lebih muda umur kita, lebih mudah untuk kita menghafalnya.Semakin kita berumur, kita akan lebih sibuk dengan pelbagai urusan dan kemampuan untuk mengingat juga semakin berkurangan. Walaubagaimanapun, kita masih belum terlambat sebenarnya, Insya Allah. Walaupun kita tidak pernah menghafal ayat-ayat pada usia kecil atau pada masa usia remaja, namun kita masih lagi berpeluang menghafalnya jika kita bersungguh-sungguh.
h) Setelah menghafal beberapa ayat, cubalah membacanya di dalam solat-solat sunat yang biasa kita lakukan. Selain itu, mintalah bantuan rakan-rakan ataupun pasangan kita untuk mendengar bacaan hafalan ayat-ayat itu .
i) Menghafal secara berkumpulan juga merupakan satu cara yang baik, apatah lagi dengan sentiasa bersama-sama memberi galakan di antara satu sama lain.

Sebenarnya, kalau mahu jujur, tiada alasan bagi kita tidak belajar al-Quran. Dalih-dalih klasik seperti kesibukan, tidak mempunyai waktu dan sebagainya adalah alasan semata-mata. Padahal, bukankah Allah S.W.T. memberi kita waktu 24 jam setiap hari, ertinya semua orang diberi kesempatan yang sama. Hanya bagaimana cara memanfaatkan waktu tersebut sebaik-baiknya sahaja.

Untuk urusan dunia kita mahu berhabis-habisan, bermati-matian, sediakan waktu dan bermusyaqqah (kerja keras)2 mendapatkannya. Sedangkan untuk akhirat kita tidak mahu bermujahadah? Padahal akhirat itulah yang pasti dan kekal abadi, sedangkan dunia sementara dan akan kita tinggalkan.

Sekadar perkongsian dan renungan bersama. Semoga niat baik kita dipermudahkan Allah hendaknya. Wallua'allam.. :)

No comments:

Post a Comment