Saturday, July 30, 2011

SEJARAH DAN PERKEMBANGAN SISTEM EJAAN RUMI BAHASA MELAYU

Ejaan bahasa Melayu mempunyai tradisi tersendiri yang lebih lama daripada tulisan Rumi atau Jawi. Sebelum kedatangan Islam ke Kepulauan Asia Tenggara, bahasa Melayu telah pun mempunyai tradisi tulisan iaitu tulisan Kawi, Batak, Lampung dan Rencong telah digunakan oleh masyarakat Melayu di Kepulauan Nusantara. Melayu.Bahasa Melayu terus berkembang sebagai lingua franca yang masyhur dan dianggap sebagai bahasa Islam yang kedua. (Syed Naquib Al-Atas: 1972)
Potensi yang ada pada bahasa Melayu kemudiannya telah dihidu oleh para sarjana Barat, lalu mereka berusaha menyusun perkataan-perkataan Melayu dalam bentuk lebih praktikal. Antara yang paling terkenal ialah Antonio Pigafetta, seorang pelayar Itali yang berjaya belayar bersama Ferdinand Magellan mengelilingi dunia. Mereka telah menyusun 426 daftar kata Itali-Melayu.
Seterusnya para pengembara mahupun orientalis Eropah cuba mentransliterasikan ejaan Jawi ke ejaan Rumi menggunakan huruf-huruf Latin. Huruf Latin yang mula-mula digunakan untuk menulis bahasa Melayu ditemui dalam senarai pelayaran Pigafetta dari Itali pada tahun 1522. Bermula dalam abad ke-16 itu, bahasa Melayu terus ditulis dengan huruf Rumi oleh pedagang, pengembara, penjelajah dan juga sarjana dari Eropah.
Ejaan Rumi pertama wujud di alam Melayu dengan menggunakan aksara Rumi ialah sistem ejaan yang diperkenalkan oleh Van Ophuysen, seorang pentadbir Belanda pada tahun 1901. Sistem ini mempunyai 32 aksara dan berdasarkan sistem ejaan yang digunakan dalam bahasa Belanda.
Pada abad ke-19 dan awal abad ke-20, usaha menulis bahasa Melayu dengan menggunakan huruf rumi telah dijalankan oleh beberapa orang sarjana Eropah secara perseorangan. Mereka menjalankan kajian terhadap tatabahasa Melayu. Usaha menggalakkan penggunaan bahasa Melayu dalam masyarakat dan sekolah dipelopori oleh Pakatan Belajar-Mengajar Pengetahuan Bahasa (PBMPB) yang ditubuhkan di Johor pada 1888, ia diteruskan oleh Maktab Perguruan Perempuan Melaka (1900).
Usaha tersebut diperkembangkan lagi dengan penubuhan Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC), Tanjung Malim pada tahun 1922. Maktab ini berperanan penting dalam perkembangan sistem ejaan bahasa Melayu. Atas kebijaksanaan Za'ba, Maktab Perguruan Sultan Idris telah memulakan sistem ejaan baru yang dipanggil Sistem Ejaan Sekolah atau dikenali juga sebagai Sistem Ejaan Za'ba.
Pada bulan September 1966, delegasi kebudayaan dari Indonesia di bawah pimpinan Kolonel Wahju Sukatjo mengunjungi Dewan Bahasa dan Pustaka serta mengesyorkan kepada kerajaan masing-masing supaya Ejaan Malindo (1959) dilaksanakan. Begitu juga dengan istilah, bahawa istilah-istilah bahasa Melayu dan bahasa Indonesia diselaraskan.
Pada 23 Mei 1972, satu kenyataan bersama telah ditandatangani oleh Menteri Pelajaran Malaysia dengan Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia melaksanakan sistem ejaan baru itu. Sistem ejaan tersebut diisytiharkan secara rasmi serentak di kedua-dua negara pada 16 Ogos 1972.

2 comments: