Sunday, August 7, 2011

Isu Palestin buka ruang satukan umat Islam sedunia

Oleh: Hasliza Hassan (link)

2010/06/09

Tindakan biadab rejim Yahudi rampas kapal bantuan ke Gaza bakar semangat jihad.

ISU Palestin yang tidak selesai hingga hari ini adalah isu besar dan umat Islam yang ingin membantu perlu memberi pertolongan berterusan, lebih penting lagi ialah pertolongan jujur, bukan sekadar retorik politik saja. Mufti Masjidilharam, Makkah, Sheikh Dr Sulaiman Al-Saloomi, berkata perkembangan terkini berlaku di Gaza membuktikan umat Islam masih hidup, bergerak dan ada penentangan iaitu semangat jihad di kalangan mereka.

Katanya, walaupun hasrat menyampaikan bantuan kepada penduduk di Palestin tidak kesampaian, insiden yang mendapat perhatian dunia itu menunjukkan isu Palestin bukan permasalahan rakyat Palestin atau orang Arab, sebaliknya permasalahan umat Islam sejagat.

“Insiden rampasan kapal dan pembunuhan sukarelawan antarabangsa membawa bantuan ke Gaza baru-baru ini adalah qada dan qadar Allah yang ada hikmahnya kerana kejadian itu berjaya menyatukan umat Islam seluruh dunia."

“Jika dulu ada sesetengah pihak, malah kalangan rakyat Palestin sendiri merasakan ini masalah rakyat Palestin atau orang Arab saja tetapi kini semua mengakui masalah Palestin adalah masalah umat Islam sejagat,” katanya pada pertemuan eksklusif dengan Berita Harian, baru-baru ini.


Beliau berkata, pengalaman menakutkan dilalui sukarelawan dan aktivis yang mengikuti misi penghantaran bantuan melalui jalan laut itu berjaya memecahkan penguasaan Yahudi terhadap media massa selama ini.


Katanya, sekurang-kurangnya peristiwa rampasan kapal Mavi Marmara dan Rachel Corrie membuka peluang dunia mendapat liputan berita sebenarnya, bukan lagi laporan media yang dikawal Yahudi.




Dr Sulaiman berkata, penguasaan Yahudi terhadap media massa terutama media barat seperti Amerika Syarikat sejak sekian lama menyebabkan dunia Islam mendapat gambaran salah mengenai apa sebenarnya berlaku.

Akibatnya, dunia menyangka dalam isu antara Israel dan Palestin, yang dikepung dan teraniaya adalah orang Israel. Peperangan berlaku tahun lalu dan terbaru, tindakan Israel menghalang kapal membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza membuka pemikiran umat Islam.


“Media massa memainkan peranan penting menyelewengkan kebenaran menyebabkan umat Islam tidak mengambil tindakan. Perkembangan terkini di Gaza adalah peringkat pertama memecahkan dominasi Israel itu.

“Perpecahan di kalangan rakyat Palestin juga menyebabkan timbul pemikiran bahawa ini masalah orang Arab tetapi apabila dua puak di Palestin dan umat Islam bersatu, ia mengangkat perkara ini jadi besar,” katanya.

Ditanya bagaimana Israel boleh terlepas daripada tindakan kejam dilakukan selama ini, beliau berkata, Israel membuat perancangan lebih 100 tahun menguasai mereka berada di posisi membuat keputusan.
Apabila menguasai peringkat pembuat keputusan dari negara besar, Israel berjaya mengelak dikenakan hukuman dan ini jelas daripada apa yang berlaku sekarang.

Menyentuh janji Allah bahawa Islam akan kuat, dan apakah yang berlaku di Gaza kini sebagai titik permulaan, Dr Sulaiman berkata, umat Islam perlu yakin Allah tidak akan memungkiri janji.

Beliau turut mengingatkan lafaz Allah yang bermaksud, jika kamu membantu Allah, Allah akan bantu kamu. Bagaimanapun katanya, tempoh cepat atau lama itu terpulang kepada Allah kerana ia termasuk dalam perkara ghaib.

Namun, tanda kemenangan sudah kelihatan dan untuk terus berada di landasan yang betul ini, umat Islam perlu mengambil tiga langkah iaitu, pertama hendaklah jujur menghadapi permasalahan ini.

Kedua, menghapuskan perbezaan pandangan yang membawa kepada perpecahan yang hanya akan melemahkan umat Islam. Ketiga, keluar daripada lingkungan yang dicipta musuh sebaliknya teguh dengan pendirian berdasarkan pandangan Islam.

“Umat Islam perlu ada pandangan tersendiri, tidak cenderung kepada barat atau timur. Ada pandangan dari Malaysia oleh Tun Mahathir (Mohamad) dalam bidang politik, sosial dan ekonomi yang keluar daripada pandangan biasa barat dan bersifat Islam. Ini bagus,” katanya.

Menghurai lanjut mengenai isu perpecahan di kalangan umat Islam, Dr Sulaiman yang juga Pengerusi Yayasan Dakwah dan Bimbingan Agama terbesar di Makkah berkata, perbezaan pandangan adalah sifat manusia dijadikan Allah.

Sebenarnya, perbezaan pandangan itu adalah cubaan Allah bagi menguji manusia yang berpecah akibat berbeza pendapat untuk kembali bersatu dan caranya perlu difikirkan pihak berkenaan.

Tetapi mengaitkan apa yang berlaku di Malaysia di mana perbezaan pandangan menyebabkan timbulnya perbalahan, beliau menekankan, perkara itu tidak sepatutnya terjadi kepada umat Islam di negara ini.


Katanya, sahabat Nabi Muhammad turut berbeza pandangan dalam perkara cabang tetapi mereka tetap menghormati semangat satu sama lain yang inginkan kebenaran seperti terjadi antara Saidina Ali dan Muawiyah.

Oleh itu, dalam perbezaan pandangan yang tidak membabitkan perkara usul, mesti ada dalam kurungan (adab untuk berbeza pandangan), supaya masing-masing boleh menghormati pandangan satu sama lain.

“Begitu juga dalam fahaman politik, walaupun berbeza fahaman, tidak mustahil untuk umat Islam bersatu dengan syarat dua-dua kembali kepada al-Quran dan sunnah. Yang penting niat perlu jujur dan ada kesungguhan untuk bersatu. Barulah terjadi penyatuan umat Islam,” katanya.

Beralih kepada isu pihak yang menggunakan agama untuk kepentingan politik atau mendapat sokongan peribadi, Dr Sulaiman berkata, tidak ada ubat untuk penyakit ini kecuali takut dan bertakwa kepada Allah.

“Hendaklah seseorang itu rasa ada malaikat yang mengawal dan Allah sentiasa melihat. Itulah ubatnya kerana apabila manusia dapat rasakan Allah tahu apa dia buat, cakap, malah niatkan dalam hati, manusia tidak akan menyalahgunakan agama,” katanya.


Sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/IsuPalestinbukaruangsatukanumatIslamsedunia/Article

No comments:

Post a Comment